Al-Quran Menjelaskan Transceiver/Komputer
Pendahuluan
Alhamdulillah kita dapat menyambung siri Kajian “Al-Quran dan ICT”, dan pada kali ini kita akan mengkaji ayat ke-4 “Dan Demi Pembahagi yang membahagi Arahan”. Kita akan membuat sedikit ulang kaji ayat 51:1-3, kemudian kita mengkaji perubahan bentuk (Metamorfosis atau transformasi) yang berlaku, dan kita akan melihat betapa tepat dan hebat tertib-susunan (chronological sequent of events) ayat-ayat Al-Quran mengajar manusia bagaimana menjana komunikasi tanpa wayar.
Seterusnya kita sama-sama fikirkan adakah ayat-ayat ini dibuat secara kebetulan atau memang ianya dirancang dengan rapi dengan ilmu pengetahuan yang amat tinggi.
Pada siri akan datang kita akan bincang kenapa sesetengah kitab tafsir memasukkan perkataan “Angin”, “Awan/Hujan”, “Kapal-kapal”, dan “Malaikat” ke dalam kitab terjemahan ayat-ayat ini, kenapa ini boleh berlaku, dan dari mana perkataan-perkataan ini datang.
Ulangkaji
Kita sekarang sedang mengkaji ayat-ayat Quran yang menjelaskan tentang ICT (wireless communication technology) iaitu 11 ayat berturut dalam surah Az-Zaariyat (surah Makiyyah, 60 ayat). Di bawah ini adalah petikan dari terjemahan Fi-Zilalil Quran karangan Syed Qutb ayat 51:1-4.
Ayat 51:1 “Demi Elektron Yang Menabur”
Pada ayat 51:1 kita mengkaji perkataan-akar (root word/jazru kalimah) “Zara” yang bermakna “terbang dan menabur” (to scatter/disperse) iaitu asas kepada perkataan “Az-Zaariyat” dan “Zarwa”. Pada ayat ini Allah SWT telah bersumpah dengan “Az-Zaariyat” untuk menunjukkan betapa penting dan hebatnya makhluk ciptaan Allah ini. Nahu “Al-Maf’ulul mutlaq” digunakan untuk menjelaskan “Zarwa” untuk memberi makna kesan semulajadi yang melampau dari perbuatan “Az-Zaariyat”. Pada hari ini ahli sains telah menjumpai satu makhluk yang sama dengan penjelasan ayat 51:1 iaitu “elektron” apabila ia terbang keluar dari orbitnya maka berlaku satu penaburan foton yang teramat banyak dan yang terbang dengan teramat laju.
Ayat 51:2 “Dan Demi Foton Yang Membawa Data”
Ayat 51:2 disambung dengan “Fa” maksudnya berlaku kesinambungan yang segera/cepat atau perubahan (tranformasi) dari “Az-Zaariyat” kepada “Al-Haamilat”. Perkataan ini berasal dari “Hamala” yang bermakna membawa (to bear/carry/lift) dan “Al-Haamilat” bermakna “Pembawa”. Perhatikan perkataan “hamil/pembawa” di sini adalah seperti ibu mengandung (wanita hamil) di mana ibu dan anak adalah satu jasad yang tidak boleh dipisahkan.
Dari segi ICT, “Al-Haamil” dan “Data” memang tidak dapat dipisahkan sebab kedua-duanya merupakan satu benda yang sama, yang tidak dapat dipisahkan.
Perkataan “wiqra” bermakna muatan yang banyak (burden, to be heavy, could not be heard), dan nahunya ialah “Maf’ulumbih” yang menjelaskan objek yang dibawa iaitu muatan yang banyak tetapi tidak boleh didengar oleh telinga manusia. Maha hebat! Lihat, Al-Quran mengajar manusia supaya membezakan antara gelombang bunyi (berbentuk mekanikal, bergerak melalui perlanggaran molekul udara), dan gelombang elektromagnetik (fotonik, bergerak melalui gelombang).
Gelombang bunyi bergerak pada kelajuan kira-kira 0.34 km/saat, sedangkan gelombang cahaya pada kelajuan 300,000 km/saat!
Ayat 51:3 “Demi Elektromagnetik meluncur dengan teramat mudah”
Ayat 51:3 juga disambung dengan “Fa” untuk menunjukkan berlaku kesenambungan atau perubahan (transformasi) dari “Al-Haamilat” kepada “Al-Jaariyat”. Perkataan “Jara” bermakna berlari atau meluncur (to flow, glide, run, be current), maka “Al-Jariyat” bermakna peluncur atau pelari. Perkataan “Yusra” bermakna “kemudahan atau kesenangan” (with ease), dan nahunya adalah “Al-maf’ulul mutlaq” untuk menunjukkan semudah-mudahnya, sesenang-senangnya (tanpa sebarang halangan).
Di sini Al-Quran memastikan bahawa gelombang ini adalah gelombang elektromagnetik (cahaya), dan bukannya gelombang bunyi. Gelombang bunyi tidak dapat bergerak/meluncur dengan semudah-mudahnya sebab ianya berbentuk mekanikal. Ia bergerak melalui perlanggaran jasad (molekul udara), tanpa jasad (seperti vakuum) bunyi tidak boleh bergerak. Bunyi juga tidak boleh bergerak melalui penghadang seperti dinding.
Ayat 51:4 “Demi Transceiver/Komputer yang membahagi arahan”
Ayat 51:4 “Dan Demi Pembahagi yang membahagi arahan”. Ayat ini juga mengandungi 3 patah perkataan “Fa”, “Al-Muqassimat”, dan “Al-Amra”. “Fa” adalah penyambung dari ayat 51:3. Perkataan “Muqassim” adalah perkataan pembuat (ismul fa’il/active participle) dari perkataan-akar qasama yang bermakna pembahagi (to apportion, divide, distribute). Maka “Al-Muqassimat” bermakna “Pembahagi” (distributors). “Amra” adalah masdar (verbal noun) yang bermakna urusan/arahan/berita (matter/affair, news, cammand), yang berasal dari kata-kerja “amara” yang bermakna mengarah (commanded). Dari segi nahu “amra” adalah objek yang kena buat (maf’ulumbih).
Kita telah mengkaji dari segi makna, kesinambungan, hukum, dan sifat ke-empat-empat makhluk kejadian Allah SWT iaitu Az-Zaariyat, Al-Haamilat, Al-Jaariyat, dan Al-Muqassimat. Dari segi nahu, kita ketahui “Zarwa” adalah “almaf’ulul mutlaq”, “Wiqra” adalah “Maf’ulumbih”, “Yusra” adalah “Al-maf’ulul mutlaq”, dan akhir sekali “Amra” adalah “maf’ulumbih”. Sudah tentu ianya amat menarik untuk kita sama-sama mengkaji kenapa ianya berpasang-pasangan.
Metamorfosis 4 Makhluk Ciptaan Allah
Di dalam ayat 51:1-4, Allah SWT telah bersumpah dengan 4 makhluk penting Az-Zaariyat, Al-Haamilat, Al-Jaariyat, dan Al-Muqassimat. Setelah dikaji dari segi Saintifik/ICTifik kita rumuskan ke empat-empat makhluk ini ialah Elektron, Foton, Gelombang Elektromagnetik, dan Transceiver.
Al-Quran menjelaskan Allah SWT telah mencipta satu makhluk yang dipanggil “Az-Zaariyat” yang mematuhi satu hukum (peraturan) iaitu akan membuat penaburan yang teramat banyak apabila ia terbang (keluar dari orbitnya). Hasil dari penaburan ini, maka terjadilah makhluk ke-dua “Al-Haamilat”, iaitu yang bersifat boleh membawa muatan yang banyak.
Makhluk ke-3, “Al-Jaariyat” terbentuk setelah makhluk ke-dua membawa muatan, dan ianya pula mematuhi satu hukum iaitu meluncur dengan teramat mudah (tanpa ada sebarang benda yang boleh menghalang pergerakkan atau perjalanannya). Dan akhir sekali Al-Quran menjelaskan makhluk ke-4 “Al-Muqassimat” yang bersifat membahagi data atau arahan.
Insyaallah di siri akan datang kita akan bincangkan bagaimana elektron boleh melompat keluar dari orbitnya untuk menghasilkan tenaga foton, bagaimana tenaga foton ini menghasilkan gelombang elektromagnetik (EM), bagaimana data dibentuk, dikumpulkan, dan dibahagi-bahagikan, dan seterusnya kesan baik dan buruk EM kepada manusia dan alam sekitar.
Tertib Susunan (chronology/sequence of events)
Oleh kerana Allah SWT menggunakan penyambung ‘Fa’ dalam ayat-ayat ini, maka ia bermakna terdapat metamorfosis (perubahan bentuk/sifat) atau transformasi (peralihan keadaan) yang hendak dijelaskan kepada manusia.
Chronology
Az-Zariyat ==> Al-Hamilat ==> Al-Jariyat ==> Al-Muqassamat
Penabur ==> Pembawa data/muatan ==> Peluncur ==> Pembahagi data/arahan
Elektron ==> Foton ==> Gelombang Elektromagnetik ==> Transciver
Mungkinkah Nabi Muhammad SAW sudah mempunyai pengetahuan tentang makhluk-makhluk ini? Mungkinkah Baginda Nabi SAW tahu kronologi atau tertib-susunan mahkluk ini supaya ianya bermakna dan dapat digunakan oleh manusia? Tidakkah ini membuktikan Al-Quran itu kalam Allah?
Bolehkah Foton terhasil sekiranya elektron tidak terbang/melompat keluar dari orbitnya? Boleh gelombang elektromagnetik meluncur sekiranya tidak ada tenaga foton? Dan bolehkah “transceiver” mengumpul dan membahagi data/arahan sekiranya gelombang tidak ada?
Ke empat-empat ayat ini MESTI disusun dalam tertib sebegini, kalau tidak komunikasi tanpa wayar tidak boleh berlaku. Misalnya tidak boleh kita luncurkan foton terlebih dahulu kemudian baru kita cuba mengisi (mengkod) data. Begitu juga foton tidak akan bertabur sekiranya elektron tidak melompat keluar orbit. Tidakkah susunan 4 ayat ini amat menakjubkan?
Sekiranya anda merasakan ianya berlaku secara rawak atau kebetulan, nanti kita akan mengkaji 7 ayat seterusnya (51:5-11). Mungkinkah seorang yang buta-huruf mampu menyusun kesebelasan ayat ini?
Maha Suci dan Maha Agong Allah SWT.
Wallahu A’lam.
sumber asal http://kajian-quran.blogspot.com/2009/12/al-quran-menjelaskan.html
No comments:
Post a Comment